Sebut sahaja nama P.Ramlee @ Tan Sri Dr. P. Ramlee (1929 - 1973) atau nama sebenarnya Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh, tidak kiralah dari di alam tabika sehinggalah ke warga emas, sudah pasti ramai yang mengenalinya. Lagenda hebat yang serba boleh di dalam bidang seni. Pengarah, pelakon, penyanyi , pemuzik penulis lirik dan sebagainya merupakan kerjaya beliau di dalam bidang seni. Tidak lekang di ingatan kita nama-nama seangkatan beliau yang turut sama telah mewarnai industri hiburan tanah air kita pada suatu masa dahulu . Nama-nama seperti Aziz Satar, Sudin, A.R Tompel, Nordin Ahmad , Mahmud Jun, Ibrahim Pendek, Ibrahim Din, Saloma, Saadiah dan ramai lagi masih lagi segar diingatan sehingga ke hari ini.
Namun sekiranya diadakan satu kuiz rambang, ditanyakan soalan kepada masyarakat masa kini seperti: Namakan 5 buah filem yang telah dilakonkan oleh Dato’ Aziz Satar?, sudah pasti akan terkial-kial kita mencari jawapan. Itu baru satu soalan yang mudah, subjek yang ditanya merupakan anak seni yang lakonan humornya masih kekal di ingatan dan menjadi ikutan hingga hari ini. Bagaimana pula dengan barisan anak-anak seni yang telah sekian lama berjuang untuk industri seni hiburan di negara kita? Mana mungkin sesebuah produksi akan sukses sekiranya tanpa gandingan mantap dan kerjasama sesama krew dan barisan pelakonnya?
Persoalannya di sini bukan saya ingin mempertikaikan kehebatan karya-karya Allahyarham Tan Sri Dr P. Ramlee , tetapi kisah-kisah disebalik kejayaan beliau. Maafkan saya sekiranya apa yang ditulis ini menyinggung perasaan mana-mana pihak atau individu, namun apa yang saya rasakan sanjungan meluap-luap yang diberikan pada beliau adalah tidak relevan sekiranya dipertimbangkan beberapa buah perkara. Mengapa kita hanya memfokuskan terhadap satu insan sahaja sedangkan terdapat ramai lagi insan yang telah mengorbankan masa hidupnya untuk bidang seni tanah air.
Media kini amat mengagung-agungkan nama beliau sehingga mencapai ke satu titik yang berlebihan. Tidak mustahil , berani ingin saya katakan bahawa nama Allahyarham mungkin telah dimanipulasikan untuk mengaut keuntungan. Ya, saya faham, perniagaan adalah perniagaan. Untuk berniaga perlu ada strategi. Namun berpada-padalah. Rambut sama hitam tetapi hati siapa yang tahu. Kita lihat sahaja, kebelakangan ini terdapat terlalu banyak program yang berteraskan penggunaan nama beliau. Terlalu banyak.
Bagaimana pula dengan rakan-rakan seperjuangan yang lain? Adakah mereka ini merupakan golongan yang ibarat ”boneka” yang hanya memeriahkan suasana di dalam industri pada suatu masa dahulu? Mereka berhempas pulas bersusah payah bersama-sama. Bergadai masa dan tenaga demi untuk karier seni. Semangat sejati sebagai anak seni bergerak sealiran sepanjang hayat mereka. Sudah ramai yang telah kembali ke rahmatullah dan juga ada yang masih sihat sehingga sekarang. Pingat perhargaan pula hanya diberi selepas berlaku beberapa isu yang agak ”sarcastic” dibangkitkan. Mereka amat memerlukan perhatian dan penjagaan kebajikan.
Apa yang kita dapat lihat kini mereka seperti sudah dilupakan. Media pula ibarat tidak mahu menitik-beratkan perkembangan mereka. Apa yang difokuskan, hanyalah keuntungan. Rancangan hiburan berteraskan realiti tv. Itulah konsep yang bergelinjangan di dalam minda mereka. Sekiranya barisan anak seni veteran ditampilkan sekalipun, hanyalah sebagai watak tambahan sekadar memeriahkan suasana. Atau juga hanya diterbitkan bagi memenuhi slot khas ketika menjelang perayaan dan juga sambutan hari kemerdekaan. Barangkali kita perlu belajar daripada negara-negara luar. Barisan pelakon veteran di Hollywood ditatang dan dilayan ibarat raja, tetapi di Malaysia? Bayaran bagi pelakon atau anak seni di sana juga adalah tinggi . Semakin veteran semakin tinggi. Kita lupakan konsep populariti tetapi konsep aprisiasi. Jika benar menghargai seni, lakukan dengan penuh tanggungjawab.
Perlu diingat, dunia berputar, hidup ibarat roda dan juga percaya pada hukum karma. Satu masa kita semua akan tua. Jika hari ini perkara ini dipandang enteng, tidak mustahil pada masa akan datang situasinya akan berulang kali dan siapakah mangsanya pada masa itu? Kita. Ya, Kita. Atau lebih membimbangkan situasinya akan lebih teruk lagi. Maklumlah, dunia semakin moden, teknologi semakin canggih. Nilai seni? Tepuk dada tanya selera. Kita dikurniakan akal, jadi fikir-fikirkanlah.
Tidak keterlaluan saya mengatakan , mungkin selepas ini akan wujud butik yang menggunakan nama P. Ramlee. Barangkali, siapa tahu? Apa-apa sekalipun, P.Ramlee itu tidak bersalah, kita wajar untuk mempelajari daripada kejayaan beliau. Contohi semangat seni dan nilai nilai positif yang telah dicurahkan di dalam setiap sentuhan karya-karya seni beliau.
Di harap apa yang telah saya suarakan ini akan membuka mata pihak-pihak yang berkenaan supaya perjalanan industri seni di negara kita mampu berkembang dengan lebih sihat.
Ahmad Syahmi,
Seksyen 19 Shah Alam.
1 comment:
i totally agree with u...
Post a Comment