Semua insan pasti mempunyai kisah hidup tersendiri kan? Dari zaman kanak-kanak, sehinggalah ke dewasa dan semakin matang. Zaman kanak kanak lelaki, pasti ada yang bermain pasir di tepi jalanan. Perempuan pula bermain masak-masak , kawin-kawin dan sebagainya. Masa berlalu tanpa berkira siapa. Ketika aku di sekolah rendah, aku mengalami beberapa perubahan. Keluarga aku berpindah, maka aku turut berpindah. Tahun 1999, aku pindah ke negeri kedah. Saat mula aku pindah, aku rasa kekok. Aku tinggalkan rakan-rakan sepermainan dan kelas. Aku hijrah, tinggalkan kejiranan. Sungai Petani menjadi destinasiku. Sungai Petani mencatat sejarahku. Dari muka licin sehingga berkumis. Pahit manis, semuanya aku telan. Saat itu basikal menjadi teman setiaku. Kaki aku.
Ketika aku darjah 6 (1999), aku bersekolah di Sekolah Rendah Kebangsaan Sungai Layar. Aku masih ingat, segala kenangan di situ. Saat hormon testosterone aku berubah. Masih aku ingat, ketika itu aku kecil.Karektor aku, seorang kanak kanak lelaki yang rambut sentiasa disikat rapi. Gaya seperti si lurus. Tapi aku aktif bersama rakan rakan . Cuma kelemahan aku ialah perasaan gugup apabila mahu bergaul dengan wanita. Selama ini, aku tidak pernah menghiraukan tentang hati dan perasaan dengan jantina lawan. Dan sewaktu usia itu juga aku mula berputik mengenalinya.
Dalam diam, aku punya rasa berdebar-debar. Dengan siapa? Rakan sekelasku yang bernama Ammelia bt Mohd Norman. Masih aku ingat namanya sehingga sekarang. Kata orang putih, “1st crush” =). Karektornya berlawanan dengan aku. Dia banyak bercakap dalam kelas. Aku pula, hanya bergaul dengan rakan-rakan lelaki. Namun apakan daya, hati si kecil..mana mampu nak berkata-kata. Aku hanya mampu melihat dari jauh sahaja. Apabila berselisih, jantung ini rasa nak gugur sahaja. Oh ya, Ammelia ni nampak lain dari yang lain sebab dia berdarah campur. Jikalau tak salah Eurasian. Kelakarnya apabila aku kenang-kenang kembali. Ahmad Syahmi dah makin membesar ya..
Setelah tamat sekolah rendah, kami semua membawa diri. Berhijrah. Sejak dari itu aku tidak ada sebarang maklumat tentang dia. Zaman itu mana ada telefon bimbit, maka terputuslah kisahnya. Aku hanya mampu mengenalinya selama setahun sahaja. Ketika di bangku sekolah menengah, ada juga aku berusaha untuk menjejakinya. Gunakan pelbagai cara, namun semua usaha tinggal nama. Lagipun, bagi aku tiada guna kerana aku masih lemah. Nak bercakap dengan perempuan pun menggigil. Ha ha ha.
Harapan aku untuk terus mengenalinya aku anggap sudah padam. Noktah. Namun dalam hati kecil aku tetap berharap satu hari aku akan dapat berjumpa kembali dengannya. Aku pun teruskan kehidupan aku seperti remaja-remaja yang lain. Cinta monyet ,semuanya aku lalui . Ammelia pula? Tetap sebagai status “1st crush” aku. Setelah aku tamat persekolahan, aku menyambung pengajian di UiTM. Dari diploma sehingga kini , degree di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media.
Umur aku kian meningkat. Segala memori lama aku simpan sebagai kenangan. Aku bukan lagi kanak-kanak yang bermain basikal pada setiap petang. Aku kini bergiat aktif sebagai mahasiswa. Tuhan itu maha kaya. Satu hari ketika aku sedang menyiapkan tugasan, entah macam mana aku boleh tertidur di hadapan komputer. Sedar tak sedar, aku sempat bermimpi. Aku bermimpi berjumpa dengan Ammelia!. Setelah 10 tahun, tiba tiba dia boleh masuk dalam mimpiku. Apabila aku bangun, aku sedar..bermimpi rupanya.. Tiba-tiba, terdetik di fikiranku. Apa kata aku cari namanya di internet. Aku buka Facebook dan menaip, Ammelia .MAGIK! Berderau darahku. Namanya ada, dan aku lihat wajah seorang wanita yang mirip wajahnya. Aku memberanikan diri, menghantar mesej kepadanya. Memang sah, dia adalah orangnya.
Kami pun kini sudah berhubung kembali. Bezanya,aku kini sudah punya karektor berbeza. Perasaan malu itu boleh dikawal mengikut tempat dan keadaan. Aku dengan selamba, menceritakan rahsia padanya yang aku simpan 10 tahun dahulu. Berbeza kan? Apa guna disimpan apa yang aku rasa. Hidup mestilah berfikiran terbuka. Sejarah hidup tak salah jika dikongsi bersama. Ammelia pula berfikiran terbuka mendengarnya.. Apabila aku kenang kembali, betapa kelakarnya saat menjadi kanak-kanak. Emosi belum stabil katakan.. Bayangkanlah sekiranya aku menceritakan rasa itu pada saat dulu. Entah apa lah akan jadi pada kehidupan aku sekarang, Sejarah pula pasti tak akan sama.
Kini, Ammelia sudah bekerja. Beliau bekerja di sebuah syarikat swasta di Pulau Pinang. Pada masa yang sama mempunyai kelas tarian. Siang bekerja , manakala sebelah malam menari. Tabik spring kepadanya! Menceritakan hasratnya untuk menjadi seorang guru tari, aku gembira mendengarnya dan akan menjadi penyokong setia di atas setiap usahanya. Bak kata orang putih, “no pain no gain”. Syukur kepada tuhan, menemukan kembali kami. Aku gembira. Impian aku tercapai. Selama ini aku sangkakan aku tidak mempunyai harapan untuk bertemu kembali, tuhan telah makbulkan. Kepada Ammelia, sekiranya awak tengah membaca nukilan ini, terima kasih saya ucapkan. Sudah tertulis dalam buku hidup saya,terselit nama awak. Magik kan? Saya akan menjadi penyokong untuk awak dalam mengejar cita-cita yang sedang diusahakan.(guna ganti diri “ saya” dan “ awak “sebab blog ini dalam bahasa Melayu). Selamat menonton filem , "Sayang, You can Dance". Akhir kata pada kali ini, moga-moga, satu hari nanti dapat berjumpa secara fizikal. Selamat maju jaya!