Klik untuk lihat iklan menarik

Sunday, February 8, 2009

Apakah erti kerinduan



Kamu tahu apa rasanya merindui seseorang? rindu itu sebenarnya adalah satu rasa kesakitan, kesengsaraan, kekeliruan yang lahirnya terus dari hati kita. Mengapa aku katakan begitu? kerana sebenarnya kerinduan itu lahir dari rasa kebimbangan. Bila kita mulai rasakan cinta itu cuma lahir dari hati kita sahaja, dan bukan dari dia. Atau rindu itu adalah rasa kehilangan yang bercambah dari fikiran kita. Maka saja kita jadi resah gelisah, rasa apa yang ada di tangan kita seolah-olah mahu beransur pergi. atau kekhuatiran yang si dia, kesayangan kita tidak merasakan apa yang sedang kita rasa saat itu. Ingin sahaja kita jeritkan namanya. mahu sahaja kita kejutkan dia dari lenanya di dini hari. Seolah-olah mahu memberitahu dia, kita sedang mengingatinya. Hinggakan kita tidak dapat tidur kerana mengenangkan dia. mahu sahaja dia berada di depan mata ketika itu.


Mahu melihat betapa lenanya tidurnya, atau memerhatikan hela nafasnya ketika itu. Hati kita pastinya merintih ketika merinduinya bukan? tetapi mungkin sesetengah dari kita merindui seseorang yang tidak pernah merasai kewujudan kita. Kita ini bukannya sesiapa pada dirinya. Cuma kita jadi kerinduan sendiri. kerana si dia itulah yang telah kita putuskan sebagai insan idaman. Insan yang selama ini menjadi buruan hati. Dialah insan yang telah membawa kita ke alam khayalan. Dunia khayalan karya perasaan kita sendiri. kerana di dalam hati, tiada sesiapa yang lain kecuali dia. Cuma ada bayangannya setiap detik, dan kita terbuai sendiri dalam dunia ciptaan kita sendiri. Membayangkan dia akan memberi kita ruang untuk mendekati dirinya, memberi kita waktu untuk menawan hatinya. Tetapi kenyataannya, dia itu memandangi kita seperti sesuatu yang tiada apa-apa. Walaupun dengan sebelah matanya. kerana padanya, mungkin telah ada seseorang yang istimewa.


Siapalah diri ini dibandingkan dengan dia yang teristimewa. maka, terciptalah alam khayalan ciptaan imaginasi kita sendiri. suatu perasaan yang lahirnya dari hati, yang memaksa fikiran minda mencipta apa mahunya kita. Seperti kita terpesona dengan apa yang telah dibaca dari novel cinta ciptaan si penulis romantis, kita juga mula mereka sesuatu dalam fikiran. Yang pastinya kita dan dia menjadi teraju utama. dialah orangnya, dan kita pula kekasih hati yang begitu mencintainya. Dan ini semua bermula dari rasa kerinduan itu. kerinduan terhadapnya yang dalam diam-diam telah kita serahkan jiwa dan raga. Pagi ini, ada kerinduan dalam hatiku. Aku jadi tidak keruan. Entah mengapa rasa ini semakin menebal. salahku juga, aku sudah mencipta sesuatu yang tidak sepatutnya diwujudkan dalam hati ini lagi. mungkin aku terbuai perasaan di kala aku bersendirian sekarang. Mungkin perasaanku sudah tersentuh dengan ketiadaan sesuatu yang sedang aku cari.


Walaupun aku tahu, belum ada kepastian untuk hal itu menjadi kenyataan. Namun ingatan itu tetap tidak dapat membuat aku terlena pagi ini. Mungkin aku terlalu kuat berkhayal, kerana aku jadi sukar untuk melelapkan mata. Akhirnya kerinduan itu benar-benar menyakitkan. Benar-benar mengelirukan. Benar-benar menyesatkan akalku. Atas desakan hati, akal kini sudah jadi tidak ketentuan. Semuanya kerana lahirnya kerinduan itu. Kerana lahirnya kebimbangan itu. Kerana lahirnya rasa kehilangan itu. Tanpa rindu, maka mana akan lahir rasa cinta, bukan? Deru waktu akan terus berlalu, dan akan bakal menghanyutkan kita dalam khayal. Akan tumbuh bercambah pengharapan dalam diri.


Mengharapkan kesempurnaan akan terlahir dari apa yang dirasai saat ini. Dan membawa aku terbenam dalam bebanan perasaan agar semua jadi kenyataan. Dan untuk si dia, pasti akan ada suatu waktu, untuk melahirkan jalinan kasih dalam hidup. Alangkah bahagianya aku dalam angan ini. Menanti, dan terus menanti, ketika dalam kesunyian diri. Menanti dan menanti lagi. Hingga akhirnya tiba saatnya aku akan terlena dalam senyuman. Mengingatinya dalam kerinduan malam.



*aku kagumi rasa yang datang dalam diri penulis entri ini. Keikhlasan yang lahir diluahkan dalam bentuk penulisan. http://ruang-waktu.blogspot.com/2007/07/apakah-erti-kerinduan.html

1 comment:

Teja Suraya said...

perghh..menusuk kalbu....

syahmi..jemput ke sini..semua bloggers pun..jemput ke link ni..TQ http://tuntejablog.blogspot.com/2009/02/bloggers-gathering-copied-from-nik.html