Klik untuk lihat iklan menarik

Friday, March 20, 2009

Mengapa puisi jadi pilihan?













Mengapa aku memilih jalan puisi? Sebab utama ialah puisi itu bebas. Aku bebas untuk melepaskan ekspressi. Aku tidak perlu diikat dengan garis panduan. Bebas dari sebarang format. Aku gemar ber'monolog. Aku berfikir ketika aku berseorangan. Puisi itu mendalam. Si penulis sahaja mampu mentafsir segala isi tersirat. Puisi itu juga lebih tajam dari kata-kata verbal jika pembaca menghayatinya. Seorang guru pernah berkata, menulislah dengan jiwa dan roh.

Aku lebih selesa meluahkan sesuatu dalam kiasan. Aku tidak pandai memanah secara tepat. Ibarat pergerakan dalam seni bela diri. Ada bunga,kukuhkan kuda-kuda dan tapak, apabila tiba masa yang sesuai maka padukan serangan. Barangkali aku perlu menuntut ilmu untuk bercerita tanpa kiasan, bergantung kepada keadaan. Apa-apa pun aku lebih selesa dengan kiasan.

Mengapa puisi yang berkias? Ber'metafora. Ada masa jika aku mahu melepaskan kemarahan, kegembiraan, dan sebagainya biarlah aku sahaja subjek utama yang memahaminya. Kerna, aku menulis bukan untuk impresi. Jika aku marah, biarlah kemarahan itu dalam bentuk yang tertutup. Aku pun puas, keadaan pun terkawal. Barangkali kedengaran penting kepada diri sendiri. Apa boleh buat, setiap manusia perlu ruang tersendiri dan "escapism".

Mengapa aku menulis sepenuhnya dalam bahasa Melayu? Bagi aku bahasa Melayu ini jika diterokai indah dan sungguh puitis iramanya. Saban hari kita semakin dibanjiri dengan lambakan bahasa rojak. Tambahan pula dengan evolusi bahasa "sms", kita seakan-akan sudah biasa dengan melakukan singkatan ejaan. Keadaan akan nampak lebih janggal sekiranya seseorang itu menulis dengan ejaan yang penuh. (Kecuali untuk menulis untuk penerbitan)

Jika perkara ini berlarutan, maka keindahan bahasa ini akan pudar ditelan zaman. Cukuplah seharian kita bertutur dengan pelbagai jenis bahasa. Apa salahnya kita melepaskan ekspressi dalam bahasa ibunda. Akhir kata, terima kasih kerana membaca hasil penulisan saya, selamat maju jaya kepada penyokong pencinta bahasa!

No comments: