Assalamualaikum, selamat pagi :) Setelah sekian lama aku terperap akhirnya dapat juga masa yang telah lama aku cari. Durasi untuk mengeluarkan peluh! Sepanjang semester lepas aku secara jujurnya mengaku tidak mengamalkan gaya hidup sihat. Makan tidak berjaga, apatahnya lagi bersenam.. Mama dan ayah merupakan insan yang paling menitik beratkan hal kesihatan. Sesibuk mana mereka sekalipun,akan diluangkan masa untuk beriadah/bersenam. Oleh yang demikian mereka selalu menasihati aku supaya mengamalkan gaya hidup sihat bermula dari zaman muda. Kata ayah, aku kena jaga dari sekarang sebab salasilah keturunan pun sudah ada penyakit diabetis dan sebagainya. Aku perlu beringat.
Baiklah, hari ini sudah masuk seminggu aku kembali memanaskan badan. Disebabkan sudah lama tidak aktif, maka agak perit untuk aku mendapatkan momentumnya. Aku ingin berkongsi pengalaman dan pendapat tentang gaya hidup masakini. Pada amnya, aku meletakkan hipotesis semakin tinggi teknologi, semakin lemah daya tenaga fizikal manusia. Aku beranggapan sedemikian berdasarkan apa yang aku sendiri alami. Aku sendiri mengakui akan hakikat ini. Bukan tidak boleh mengikuti perkembangan teknologi, hanya perlu bersederhana :)
Aku tidak gemar bersukan di dalam kumpulan seperti bola sepak dan sebagainya. Bagi pendapat aku, sukan sedemikian bukan sebati dengan citarasa aku. Aku pernah cuba meminati namun tidak berjaya. Oleh itu aku mencuba beberapa sukan lain yang dapat memenuhi citarasa. Salah satunya adalah berbasikal. Mengapa? Melalui berbasikal, aku dapat menerokai tempat tempat baru selain dapat mengeluarkan peluh. Berbasikal juga dapat melatih seseorang untuk gigih mencapai matlamat, sebagai contoh ketika mendaki bukit yang curam kita akan fokus untuk berjaya sampai ke puncak dengan berbekalkan segala kudrat dan semangat yang ada. Itu pendapat aku kenapa berbasikal menjadi pilihan. Setiap orang berbeza citarasanya bukan?
Apa yang berlaku pada hari ini, populasi yang aktif bersenam semakin berkurangan. Aku dapat lihat betapa kurangnya kaum melayu terutamanya meluangkan masa untuk bersenam. Walaupun ramai yang keluar beriadah, namun populasi yang bersenam adalah amat sedikit. Ramai anak muda masakini lebih gemar menghabiskan masa melayari internet, permainan video, lepak di kedai mamak dan bersiar siar di kompleks membeli belah daripada menghabiskan masa untuk bersukan. Penduduk di kawasan urban terutamanya patut lebih bersyukur kerana kerajaan telah pun memberi fasiliti untuk beriadah “indoor & outdoor” berbanding penduduk yang tinggal di luar bandar. Kemudahan sudah disediakan, maka manfaatkanlah apa yang ada.
Aku ada membaca satu artikel yang menerangkan bahayanya alat elektronik kepada tubuh badan manusia untuk jangka masa panjang. Seperti mana yang kita lihat hari ini, telefon bimbit bukan lagi barangan kemahuan, namun sudah bertukar menjadi alat keperluan seharian. Kajian telah membuktikan bahawa tubuh manusia akan lemah sekiranya terlalu lama didampingi oleh alat alat elektonik masa kini. Sekiranya kita masih lagi tidak mengubah cara hidup untuk lebih sihat, hal ini akan mendatangkan mudarat kepada generasi akan datang. Kurangkan beriadah secara “maya”, lebihkan interaksi secara realiti. Ayuh, marilah kita bersama sama mengamalkan gaya hidup yang sihat. Mencegah lebih baik dari merawat :)
*Nasihat ini lebih untuk diri aku sendiri*
No comments:
Post a Comment