Klik untuk lihat iklan menarik

Sunday, March 22, 2009

SUDAH TIBA MASA PERKHIDMATAN KESIHATAN KELAS PERTAMA HARUS DIMILIKI.

“Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga”, “Alang-alang menyeluk pekasam,biar sampai ke pangkal lengan.”dan “Kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan”. Tiga perumpamaan ini membawa tiga maksud berbeza, namun dapat dirumpunkan dalam satu fenomena yang telah lama diperkatakan iaitu bidang perkhidmatan kesihatan di negara kita. Mengapa , bagaimana dan siapa yang bertanggungjawab dan apakah langkah langkah yang boleh kita ambil untuk mengatasi masalah ini?

Seringkali kita terdengar bahawa perkhidmatan kesihatan terutamanya di hospital-hospital dan klinik kerajaan dikecam hebat atas layanan yang ibarat “melepaskan batok di tangga”. Ada kes yang diceritakan oleh sahabat saya sendiri dimana ahli keluarganya meninggal dunia akibat kegagalan memberikan rawatan yang sepatutnya terhadap mangsa. Apa yang berlaku ialah di hospital tersebut bukanlah kekurangan peralatan dan kepakaran, namun sistem yang diberikan memberikan impak yang buruk.

Pada awalnya mangsa telah berjumpa dengan doktor di sebuah klinik kerajaan, namun doktor hanya mengesahkan bahawa mangsa hanya mengalami gastrik sahaja. Setelah mendapati sakit itu tidak berkurangan, mangsa mendapatkan rawatan alternatif di klinik pakar, doktor telah mengesahkan bahawa mangsa menghidapi paru paru berair dan sudah sampai ke peringkat ke 3. Ini hanyalah sebahagian daripada keluhan yang saya dengar, malah banyak lagi yang berkaitan dengannya.

Memang benar kita sebagai rakyat Malaysia perlu bersyukur dengan bantuan perubatan yang telah disubsidikan kepada rakyat. Kita lihat negara luar seperti di eropah dimana rakyatnya terpaksa mengeluarkan belanja yang tinggi untuk mendapatkan rawatan kesihatan. Namun, ini bukanlah alasan untuk negara kita tidak memberikan layanan kelas pertama dalam perkhidmatan kesihatan. Apa yang berlaku, sekalipun bayaran yang dikenakan adalah tinggi namun mereka dapat menerimanya kerana mendapat layanan kelas pertama.

Setiap kali menjelang pilihanraya, berbunga-bunga , berbakul manifesto dijanjikan untuk memperbaiki sistem perkhidmatan kesihatan, namun semuanya lebih kata dari usaha. Kita sebagai rakyat berhak mendapat perkhidmatan terbaik. Rakyat adalah pembayar cukai, kerajaan perlulah lebih peka terhadap isu ini.

Terdapat banyak aduan mengatakan bahawa ramai dikalangan staf di hospital kerajaan tidak mersa dan pelanggan terpaksa menunggu berjam-jam lamanya untuk menunggu giliran mendapatkan rawatan. Barangkali staf yang bekerja di “front desk” perlu memberikan layanan yang lebih sempurna. Mereka ini ibarat duta kecil dan perantara di antara pihak hospital dan orang awam.

Mungkin adalah wajar jika mereka memperhalusi sistem yang sedia ada untuk ditambah baikkan dan lebih efisyen. Terdapat juga aduan mengadakan ada kes berlakunya “double standard” yang diberikan kepada keluarga pesakit. Jika benar kejadian ini berlaku dan berterusan , kita sewajarnya mengelakkan supaya layanan sama rata dapat diberikan. Atas prinsip kemanusiaan, kejadiaan seperti ini diharap tidak akan berulang lagi.

Seperkara lagi, seperti mana yang saya kaitkan dengan peribahasa “Kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan”, kerajaan sewajarnya mengutamakan yang utama. Apabila berlakunya bencana, dan sebagainya di luar negara, Malaysia adalah antara negara yang pertama menampilkan diri untuk menghulurkan bantuan. Sebagai contoh terkini, krisis di Gaza, berpuluh-puluh dan tidak mustahil ratusan program berteraskan kutipan dana untuk bantuan kemanusiaan.

Tindakan mulia ini wajar dilaksanakan, namun pada pendapat saya lebih molek jika kudrat yang kita sedia ada ini disalurkan dalam memperbaiki dan menambah pusat rawatan/hospital terutamanya di kawasan pedalaman seperti di Sabah dan Sarawak. Kebajikan anak bumi kita ini seharusnya diberikan keutamaan, kemudian barulah selebihnya kita salurkan kepada negara yang memerlukan.

Pada pendapat saya, bukanlah semua staf di sektor tersebut memberikan layanan sambil lewa, ada yang berdedikasi menjalankan tugas, bersengkang mata mengerah kudrat dalam usaha menyelamatkan nyawa pesakit. Namun apabila masih wujud segelintir penjawat yang tidak melaksanakan tugasan sebaik mungkin maka kesannya akan terpalit ke seluruh institusi. Mungkin benar pada pihak mereka punyai pendapat tersendiri. Namun segala alasan itu bukanlah menyelesaikan apa apa masalah. Kita dapat memberikan 1001 alasan, namun harus diingat alasan itu bukanlah penyelesai kepada masalah.

Dalam usaha sebagai menuju kearah matlamat negara maju, perkara-perkara seperti ini haruslah dititik beratkan. Negara kita sudah mempunyai kepakaran hampir setanding dengan negara-negara maju, maka manfaatkan lah infrastruktur yang sedia ada. Elakkan daripada mempunyai infrastruktur kelas pertama namun ideologi yang masih di tampuk lama. Janganlah “sudah terhantuk baru terngadah”. Sekian sahaja pendapat dari saya, semoga rintihan dan cadangan ini dapat memberikan percikan dan anjakan paradikma kepada usaha yang lebih berganda. Selamat maju jaya .