Klik untuk lihat iklan menarik

Monday, April 20, 2009

Eh, Rangga jumpa cinta!









Kadang-kadang, aku cemburu dengan rakyat Indonesia. Mereka begitu mengagungkan bahasa ibunda mereka. Sekalipun Belanda telah menjajah, namun jatidiri dari segi bahasa masih kukuh. Melayu itu rumpunnya besar, Melayu ada di mana mana sahaja. Namun jika kita ke luar negara, kita seakan-akan kagum, “wah, mat saleh ni boleh cakap melayu”.pelat Melayu itu jelas kedengaran loghat Indonesia. Bagaimana perkara ini boleh berlaku?

Antara perkara yang mendorong hal ini ialah penerapan bidang sastera yang lebih serius dititik beratkan. Kita boleh melihat contoh perkara ini melalui filem. Sebagai contoh “Ada Apa Dengan Cinta”. Jika diamati dengan lebih mendalam, secara tidak langsung mereka telah menekankan elemen cinta terhadap bahasa sebagai tunjang utama. Elemen cinta sesama manusia itu pula merupakan “penguat” sebagai pelaris untuk dikomersialkan. Inilah yang kita mahukan, mendidik melalui filem!

Mungkin bagi anak muda di bangku sekolah akan melihat elemen cinta sebagai “magik” yang membawa ke panggung, namun dari segi penerapan secara menyeluruh, industri perfileman akan semakin berkembang secara sihat. Tahniah kepada Sutradara, Rudi Soedjarwo kerana telah membawa satu hasil kerja seni yang berkualiti.

Pembikin filem di Malaysia barangkali boleh mengikut langkah seperti ini untuk perancangan masa panjang industri di negara kita. Saban hari penonton banyak disuap dengan filem-filem yang santai berteraskan komersial semata-mata. Banyak filem yang memaparkan realiti anak muda yang bersifat negatif. Memang benar pembikin filem mempunyai alasan tersendiri, namun harus diingat, tidak semua mesej yang ingin disuap akan ditelan dan dihadam. Berapa ramaikah yang akan melihat sesuatu impak itu dari perspektif yang positif?

Berbalik kepada keterangan di atas, aku sukakan watak Rangga yang diberikan kepada Nicholas Saputra. Kesan watak itu mampu mengajar anak muda supaya menghargai sastera. Sastera dipelajari bukanlah untuk melahirkan insan bersifat “jiwang” , namun insan-insan yang menghargai sastera ini jika kita kaji mereka merupakan golongan yang peka terhadap persekitaran yang bersifat sensetif dari sudut yang positif. Menulis puisi mampu melatih otak kita untuk berfikir di luar kotak.

Walau bagaimanapun, aku tetap berbangga sebagai anak Malaysia, segala perspektif yang aku lontarkan bertujuan untuk member kritikan membina. Jika bukan anak bangsa sendiri menegur sesuatu bangsanya, siapa lagi? Kepada pembikin filem,selamat maju jaya dan selamat berkarya.Kita tidak semestinya perlu ada Rangga versi Malaysia, barangkali watak Samad yang cintakan sastera. Kepada rakyat Malaysia, jangan malu untuk bertutur bahasa ibunda, menulis dalam bahasa Malaysia dan pada masa yang sama belajarlah dan kuasai bersama-sama bahasa lain yang ada!

No comments: