Berlalulah sudah ramadhan, kini syawal menjelma. Alhamdullilah aku dikurniakan kesihatan dan rezeki untuk menyambut lebaran sekali lagi pada syawal ini. Salam eidulfitri buat kalian semua, kepada yang jauh kita dekatkan, kepada yang dekat kita eratkan dan kepada yang erat kita mesrakan.
Syawal pada tahun ini ternyata berbeza pengamatannya berbanding tahun sebelum ini. Barangkali aura yang aku rasakan sepanjang ramadhan lepas ibarat satu petanda kelainan yang akan dirasai pada kali ini. Pada tahun ini kami sekeluarga beraya tanpa abang kerana bertugas di Arab Saudi, maka aku merangkap cucu tertua buat raya kali ini. Seperti biasa, setiap kali persiapan raya di kampung , aku akan melakukan tugasan mewakili cucu di dapur, dari mencari kelapa tua..mengopek buah kelapa, memarut sehinggalah proses seterusnya yang berkaitan dalam bidang masakan. Sepupu yang lain masih muda,ramai pula yang akan mengambil peperiksaan maka dikecualikan dari tugasan-tugasan berat selain dari persiapan masakan.
Pagi 1 syawal, selepas subuh perkakas untuk membakar satay dikeluarkan. Aku menguruskan untuk permulaan sehinggalah ke jam 8 pagi. Kira kira 1000 cucuk satay menanti untuk dibakar pada pagi tersebut. Setelah sudah giliran aku, saudara mara perempuan mengambil alih sehingga semuanya siap dibakar. Kemudian rutin seperti biasa, solat eidulfitri di masjid kemudian aktiviti kunjung mengunjung dan saling bermaafan di pagi raya. Kira kira jam empat petang, kami sekeluarga bersiap untuk keluar beraya di rumah sanak saudara. Lokasi pertama ialah Hospital Sultanah Bahiyah kerana dimaklumkan salah seorang datuk saudara@ tok su aku sedang sakit penat di sana.
Kami difahamkan tok su hanya penat biasa , maka kira kira jam 5 petang kami tiba di perkarangan hospital. Disebabkan kes H1N1, semua pelawat dibenarkan melawat pada jam 5.30 petang. Tepat jam tersebut, kami menaiki ke aras 4D di hospital tersebut. Setibanya di pintu wad kelihatan beberapa ahli keluarga tok su saling berpelukan, kedengaran tangisan teresak esak dan tanpa berlengah panjang, kami berlari ke katil tok su. Innalillah…tok su baru sahaja pergi..baru 5 minit..tok su sakit tiga serangkai (jantung, hati dan buah pinggang)
Keadaan menjadi amat pilu dan tergamam seketika..mama dan ayah menguruskan urusan membawa pulang jenazah dan kira kira jam 10 malam baru pulang ke kampung semula. (Sanak saudara yang lain pulang ke kampung semula pada maghrib). Begitulah perjalanan dari pagi lebaran sehingga ke lewat petang. Tidak berpeluang mengunjung ke mana mana rumah pada hari 1 syawal.
Pada sebelah malamnya pula, kami sanak saudara berkumpul. Di hadapan rumah tok ada satu gelanggang. Di situlah segala aktiviti di luar rumah dijalankan seperti berlatih silat siam@ tomoi dan sebagainya. Sepupu kecil semuanya bermain mercun dan bunga api, aku dan beberapa orang sepupu melepaskan gian di satu sudut yang terletaknya punching bag! Punching bag ini dibuat khas oleh Pak Teh aku. Owh ya, punching bag ini akan lebih berat di sebelah malam kerana diperbuat daripada denim. Disebabkan sudah lama tak berlatih dan tidak melakukan warm up, maka otot biceps kanan aku tercedera. Hah..sakitnya boleh dirasai sehingga hari ini,raya ke empat..
Diringkaskan cerita, sambutan syawal pada kali ini pengamatannya berbeza. Tidak ada satu gambar pun yang diambil bagi keluarga aku, tidak ada ‘kemeriahan’ seperti tahun tahun terdahulu. Aku tidak lagi bergelinjangan untuk mengira duit raya, mahupun melaung-laungkan lagu raya. Namun apa yang ada adalah keakraban hakiki pada setiap ahli keluarga dan saling bermaafan. Keupayaan berkumpul bersama sanak saudara itu lebih manis pengamatannya. Syukur alhamdullilah..itulah antara nilai sebenar syawal.Satu revolusi perubahan yang sedang dirasakan buat diri ini. Salam eidulfitri buat semua, salam muhibbah dan maaf zahir dan batin buat kalian semua.
No comments:
Post a Comment