Malam ni rasa sejuk sikit berbanding kebelakangan ini. Bila hujan aku teringat sesuatu yang dingin,ya air! Ada apa dengan air? Aku mula mengelamun dan tiba tiba teringat tentang peristiwa kira-kira lebih 10 tahun yang lalu. Ketika itu aku masih di tadika. Aku mendapat berita bahawa akan berpindah ke Perlis oleh ayah. Masa tu kecil lagi, maka aku pun masih kurang jelas tentang keadaan ketika itu. Satu peritsiwa kelakar yang sehingga kini menjadi bahan usikan ialah apabila aku bertanya pada ayah, “Kat Perlis tu ada KFC tak? kalau tak ada Amie tak nak pindahlah.” Mama dan ayah ketawa gara-gara pertanyaan aku.
Sepanjang perjalanan ke Perlis aku rasa teruja. Aku duduk di tempat duduk belakang di dalam kereta sambil melihat lori besar yang membawa barang-barang dari Shah Alam. Kadang-kadang sempat aku melambai tangan ke pak cik yang memandu lori tersebut. Ternyata aku masih terpinga-pinga. Setibanya di Perlis, aku melihat persekitaran sekitar taman perumahan, Taman Sena Indah. Perumahan itu terletak di Kangar dan berada di tengah bandar.
Apabila masuk hari pertama persekolahan, aku berdebar –debar. Aku melangkah masuk alam sekolah, darjah satu. Nama sekolah aku, Sekolah Rendah Kebangsaan Seri Indera. Masih segar dalam ingatan, aku menggalas beg Power Rangers dan berkasut putih jenama Bata. Aku sedar bahawa loghat di sana adalah berbeza berbanding di Shah Alam. Aku sering diketawakan apabila bercakap. Ada rakan-rakan mengajuk cara aku berloghat. Setibanya di rumah, aku terus bertanya kepada ayah, “ayah, apa beza buaya dengan boya *loghat utara*. Ayah ketawa dan menjelaskan kepada aku tentang loghat yang ada di sini.
Mama dan ayah merupakan seorang yang aktif bersukan. Pada setiap petang mereka akan berbasikal mengelilingi bandar Kangar sambil aku bersama adik beradik menaiki basikal masing-masing. Apabila masuk darjah 2, mama dan ayah menghantar aku untuk menyertai Kelab Rakan Muda. Aku dan abang masuk ke kelas latihan berenang. Maka rutin aku dan abang pada setiap petang Isnin hingga Jumaat ,kami akan dihantar ke pusat akuatik di Stadium Kangar untuk belajar berenang. Ketika rakan-rakan sebaya di perumahan bermain bola sepak dan berbasikal, aku bercelup di dalam kolam renang bersama swimming trunks dan goggles .Begitulah rutin aku sejak darjah 2 hingga darjah 4.
Kini ,malam ini aku tersenyum berseorangan apabila mengenang kembali sebahagian pengalaman aku membesar di sana. Aku dahulu seorang si kurus dan kerdil, bagitu naif tentang kehidupan. Yang aku tahu, pagi ke sekolah , petang ke kelas berenang, maghrib kelas mengaji al quran dan malam aku mesti menyiapkan kerja sekolah. Owh ya, dulu semasa di Perlis , ayah dan mama kerap membawa kami sekeluarga ke Thailand. Boleh dikatakan kami ke sana sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan. Dan kini aku teringatkan tom yam siam..hehehe..
* Berhenti mengelamun*
-Ahmad Syahmi, Seksyen 19 Shah Alam, 14Mei 09-
No comments:
Post a Comment