Bilakah kali terakhir anda menangis? Tidak kiralah samada lelaki atau wanita, kita adalah manusia. Punya mata, hati dan juga jiwa. Apa yang membezakan antara setiap manusia adalah tahap egonya. Kerna bidang fasilitator lah aku berjaya memecahkan ego dalam diri dan menitiskan air mata. Mengapa? Kerana dalam bidang ini perlukan keihklasan sejati sewaktu bertugas. Jika populariti yang dikejar maka anda sedang menuju ke arah yang tebing yang tinggi dimana apabila tiba masa anda akan jatuh menjunam. Begitulah mukadimah bagi coretan aku kali ini.
Kelmarin aku mendapat panggilan daripada “keluarga ke 2” iaitu keluarga PERFACT. PERFACT merupakan badan fasilitator yang ditubuhkan sesama mahasiswa di atas satu minat yang sama dimana kesemua daripada ahlinya datang dari latar belakang yang berbeza. Aku merupakan salah satu daripada “founder” yang digelar GROUNDBREAKER. Kini kami mempunyai 3 generasi di bawah dan akan masuk generasi ke empat dalam masa terdekat ini. Baiklah, aku pendekkan cerita. Semalam aku dihubungi untuk dijemput turun menjadi “trainer” ke program. Mereka menyatakan bahawa memerlukan orang yang boleh "memagar" di sekitar kawasan program. Program kali ini adalah untuk latihan kepada ahli baru yang menyertai badan ini. Kebiasaannya semua bakal fasilitator akan melalui beberapa siri latihan yang akan dilakukan di luar universiti. Lokasi pilihan adalah kawasan hutan dimana adalah sesuai untuk dijalankan beberapa buah modul.
Dalam siri latihan ini memerlukan beberapa buah aspek penting yang perlu diambil berat bagi memastikan sesi “training” berjalan lancar. Salah satunya ialah aspek keselamatan termasuklah keselamatan “batin” semasa di lokasi. Aku antara individu yang pernah menjalankan tugasan memantau keselamatan para peserta. Kami bergerak dalam kumpulan yang mana ahlinya mempunyai pengetahuan dalam “memagar” kawasan persekitaran. Ditegaskan di sini kami bukanlah bomoh tetapi hanya berusaha setakat yang mampu dengan izin Allah S.w.t
Aku teringat peristiwa yang berlaku pada Mac 2008, sewaktu kami melatih fasilitator selama 4 hari di Bukit Cerakah. Kesemua peserta diuji secara fizikal dan mental . Mereka dikuarintinkan, telefon bimbit, jam tangan dan dompet kesemuanya disimpan . Mereka hanya perlukan tubuh badan dan jiwa sepanjang program. Setibanya kami di sana, pada siang hari penat kerana diganggu oleh sekawan beruk liar. Khemah dikoyak dan barang mentah dicurinya barangkali beruk beruk itu lapar.
Program berjalan lancar sehinggalah sekitar jam 9.30 malam. Masa tu aku dan beberapa rakan sedang berehat seketika sambil minum teh. Para peserta berasa di atas kawasan perkemahan manakala kami di curam bawah . Salah seorang rakan aku menegur, “aih…ada juga ya…”. Selepas beberapa ketika kami pun dapat mendengar sesuatu yang tidak diinginkan. Hilai ketawa cik Pontianak! Kami mula bertindak, membaca beberapa potong ayat al Quran dan berjalan sekeliling kawasan yang “dipagar”. Salah seorang daripada rakan aku mempunyai kelebihan iaitu dapat melihat dengan mata kasar. Badannya mula melentuk seperti kucing yang ingin bertarung dan tanpa disedari langkah silatnya mula dibuka.
Dia memberi isyarat kepada kami mengenai lokasi “cik pon” sedang berkeliaran. Tangannya akan menunjukkan ke atas arah makhluk Allah itu sedang terbang. Katanya cik pon itu hanya mampu berlegar kerana tidak dapat menembusi kawasan perkemahan. Selepas beberapa ketika hilaian itu pun hilang. Kami semua merahsiakan tentang hal ini dari pengetahuan para peserta. Kejadian turut berulang beberapa kali sekitar jam 3 pagi dan kami semua teruskan untuk berjaga-jaga. Selepas azan subuh, keadaan kembali normal dan kami semua pun tidur untuk “charge” kembali selepas keletihan berkawal mental dan fizikal.
Masuk hari kedua, masih sama iaitu pada siang hari dikacau oleh puluhan ekor beruk dan bermulalah kisah seterusnya pada waktu malam. Aktivitinya adalah night walk sekitar bukit cerakah. Kami berjalan berkumpulan selama 3 jam. Beberapa pengalaman mistik yang dirasai oleh kami terutamanya barisan “trainer”. Aku memikul tugasan tambahan iaitu bertugas sebagai “photographer” sepanjang aktiviti. Terasa seram sejuk juga ketika aku menekan “shutter” pada SLR yang dibawa. Salah satu kejadian yang menarik adalah dimana sewaktu berjalan kami mendapati bahawa jumlah peserta sepanjang jalan itu adalah berlebihan. Ha ha ha, ada yang mengusik. Namun kami teruskan perjalanan dan sentiasa berdoa agar tidak ada kejadian tidak diingini berlaku.
Hari ketiga, merupakan kemuncak kami diusik oleh penghuni Bukit cerakah. Pada sekitar jam 11, terdapat satu aktiviti di sekitar kolam lama di tepi kawasan perkemahan. Pada malam tersebut kami seolah olah mendapat amaran dari “penghuni” agar beredar dari kawasan tersebut, sekali lagi rakan kami “bersilat” seorang diri ketika mendapat petanda mistik. Kali ini bukan sekadar Pontianak, malah pelbagai jenis lagi turut menggangu. Yang berwarna merah, hijau semuanya ada. Aku juga tidak terlepas dari diusik iaitu semasa duduk dibawah satu pohon besar, beberapa kali bahu aku ditepuk. Aduhai..ini sudah melampau. Kami pun beredar setelah mendapat beberapa buah amaran. Seterusnya pada jam 3 pagi, para peserta dikejutkan untuk aktiviti “solo walk”.
Selepas berbincang, kami memutuskan supaya jarak solo walk dipendekkan. Semua peserta seolah-olah akur dan menurut segala perintah. Ada yang menangis ketakutan dan macam macam ragam. Lebih mencabar sebenarnya adalah di pihak “trainer” dimana kami perlu bersembunyi di “check point” yang ditetapkan. Aku dan seorang rakan mendapat kawasan di curam bukit dan kami meniarap bersembunyi di sebalik lalang. Di hadapan adalah laluan, manakala di kaki kami adalah cerun bukit. Bayangkanlah kami perlu meniarap selama lebih 3 jam di kawasan tersebut. Usik hilai tawa itu sudah biasa, sehingalah tahap mengusik kaki kami . Aku dapat melihat para peserta berjalan dalam macam ragam. Berjalan pantas sambil menangis, ada yang betasbih , dan sebagainya.
Namun ada 2 peristiwa yang aneh iaitu salah seorang peserta yang kami lihat berjalan pantas . Amat pantas . Aku dan rakan dapat merasakan sesuatu yang tidak kena. Tiba-tiba, telefon bimbit rakanku(yang telah dimatikan) berbunyi dengan sendiri. Fuhh..main-main ya.. Paling menarik adalah apabila salah seorang peserta yang apabila tiba di garisan penamat, dia mengeluh “abang, saya lapar”. Kami semua tergamam kerana agak pelik semasa semua peserta mengeluh ketakutan, dia sahaja yang lapar. Rupa-rupanya selepas diberitahu oleh rakan di salah satu check point, dia nampak perserta ini jalan membongkok, kenapa? Ada yang bertenggek di atas bahunya! Patutlah dia keletihan.
Begitulah sedikit sebanyak pengalaman yang aku ringkaskan bagi cerita mistik semasa di Bukit Cerakah. Usik hilai ketawa itu didengari setiap malam. Siang pula diusik beruk. Apa-apa pun, program pada 12 Mei ini aku tak dapat untuk turut serta kerana aku ada tugasan pada minggu tersebut manakala rakan sepasukan yang lain juga ada hal peribadi. Semoga adik-adik yang akan turun ke program akan datang ini menimba ilmu secukupnya dan yakinlah dengan doa pada Allah. Mohon padaNya agar semuanya berjalan lancar. Biasalah, dalam nak menuntut ilmu ni ada cabarannya! Selamat maju jaya =)
P/S: Kami bukan bomoh ;)
*Lokasi di kolam*
No comments:
Post a Comment